Wednesday, October 14, 2009

Aku dan AriffStudio


Aku.

Aku adalah Mohd Zahid, seorang Part Timer Creative Designer. Secara full time, aku adalah Jurutera di sebuah syarikat pembekal peralatan untuk industri Minyak dan Gas.

Suami kepada seorang isteri tercinta, yang merupakan Pegawai Kredit di sebuah bank yang dikenali ramai dengan nama timang-timangan Chimpeng. Bapa kepada seorang (bakal 2) anak. Anak pertamaku dinamakan Muhammad Ariff.

Aku & Multimedia Design.

Aku mula mendesign secara suka-suka semasa tahun-tahun awal di UKM. Keterlibatan dalam pelbagai aktiviti persatuan seperti Pesta Konvokesyen, HiT (Kelab Komputer di Kolej Ibrahim Yaakub), Sekretariat Informasi JAKSA Kolej dan Pematra (Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan) membantu aku melontarkan minat aku ini kerana tugas-tugas yang aku pegang dalam setiap persatuan tersebut.

Terpikul dengan tugas persatuan dan didorong dengan minat, aku membeli komputer Celeron 800MGhz 128 MB RAM pada harga RM1,600 pada tahun 2000, merupakan antara yang paling bajet pada ketika itu. Tetapi dengan komputer itulah aku telah belajar seribu macam kemahiran dalam multimedia & design. CPU komputer itu masih dalam keadaan running condition di rumah aku, walaupun sudah lama tidak di'on'kan dek monitornya yang sudah rosak.

Sebagai pelajar Fakulti Kejuruteraan, sudah tentu aku tidak mendapat kemahiran multimedia design ini melalui kelas yang formal. Antara yang paling banyak menjadi guru kepada aku dalam bidang ini adalah Sifoo.com, termasuk pengasasnya sendiri, Imran Abd Jabar serta penulis-penulis artikel di Sifoo.com. Salah seorang dari penyumbang artikel (juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Siffo.com, MTSC) yang menjadi idola dan ikutan aku adalah Didiz. Walaupun tanpa mereka sedari, aku amat berterima kasih pada mereka kerana mereka semua adalah guru aku yang paling besar dalam aku memulakan langkah dalam bidang ini.

Selain dari Sifoo.com, kawan-kawan dari persatuan dan di KIY juga banyak memberi sumbangan idea dan ilmu. Untuk disebut kesemuanya, mungkin tak tersebut, tapi antaranya ialah abg Khairul Nizar, Adli, Acap, Elly Yanniz, Taufiq, Wak Faizal dan lain-lain. Yang mana tak disebut, mintak maaf naa.

Dan, tidak dilupakan, guru yang masih setia menjadi tempat bertanya aku sampai sekarang adalah Pakcik G. Semakin lama usianya, makin banyak yang dia tahu.

Aku & Perniagaan IT

Sejak dari tahun 3 di UKM, aku adalah agen jualan komputer untuk Hardnet Technologies S/B. Hasilnya kadang-kaadng lumayan juga bagi seorang pelajar. Tapi bukanlah setiap bulan ada pelajar membeli komputer, biasanya selepas dapat duit PTPTN, graf jualan akan meningkat naik. Mungkin dari sini aku mula terdedah kepada kemahiran dalam bidang pemasaran.

Apabila manamatkan pengajian di UKM pada April 2004, aku ditawarkan menyertai Baitul Mukhtar Sdn Bhd oleh MDnya. Baitul Mukhtar yang baru ditubuhkan pada ketika itu adalah syarikat penyedia latihan IT kepada jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat swasta. Semuanya bermula selepas aku menjadi trainer untuk Kursus Pembangunan Laman Web kepada Pensyarah-pensyarah IKBN.

Aku menjadi pensyarah tetap di Baitul Mukhtar Sdn Bhd selama setahun. Hanya selepas itu aku mengorak semula langkahku ke bidang kejuruteraan secara sepenuh masa apabila menyertai Metronet Sdn Bhd pada 2005. Semenjak dari itu sehingga sekarang, aku menjadikan design sebagai hobi sampingan di malam hari atau pun di hujung minggu sahaja.

0 komen setakat ini:

Post a Comment